31 August 2012

13,000 Peserta Semarakkan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Perbarisan sempena ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka Jumaat meriah dengan penyertaan 13,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya generasi muda, yang melambangkan perpaduan negara yang kukuh dan sejahtera.

Bertemakan 1Malaysia Janji Ditepati, perhimpunan bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tepat pukul 8 pagi dengan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong mengambil tabik hormat sebelum lagu 'Negaraku' dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja.

Pada masa yang sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.

Tuanku Abdul Halim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu Diraja dan diikuti dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali sebelum diikuti dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu 'Negaraku' dan tembakan meriam 14 das.

Acara sambutan bermula dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh 55 peserta yang mewakili pelajar dan guru, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan badan berkanun serta orang kurang upaya dengan berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik dengan diketuai oleh pelajar Sekolah Menengah Taman Melawati Gombak Azrai Abdul Aziz.

Ia disusuli dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diikuti laungan 'Janji Ditepati' sebanyak tiga kali.

Acara diteruskan dengan persembahan segmen pertama mengenai Rukun Negara yang disampaikan melalui bicara berirama dengan penuh berwarna warni oleh para pelajar.

Ini diikuti dengan perarakan masuk perbarisan yang dimulakan dengan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia dan dikuti dengan kontinjen membawa Jalur Gemilang dan kontinjen membawa bendera kesemua 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Buat julung kali perbarisan kontinjen agensi kerajaan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dengan diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Kontinjen agensi kerajaan turut dianggotai oleh pemimpin tertinggi setiap kementerian itu iaitu ketua setiausaha kementerian masing-masing selaras dengan tema perayaan Hari Kemerdekaan tahun ini "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati".

Perarakan seterusnya diikuti kontinjen badan beruniform generasi muda di bawah segmen 'Pemimpin Masa Hadapan' dengan mempersembahkan tarian IM4U yang mendapat tepukan gemuruh daripada tetamu kenamaan yang turut sama menyanyikan lagu tema berkenaan.

Turut menyertai perarakan ialah kontinjen pengangkutan awam bandar terdiri daripada empat kereta peronda Suruhanjaya Pengangkutan Aawam Darat (SPAD), 55 buah teksi rakyat 1Malaysia dan dua bas RapidKL yang menjadi simbolik kepada transformasi pengangkutan awam di negara ini.

Di bawah segmen keempat "Gegar Merdeka" yang memperlihat kontinjen pasukan keselamatan negara yang turut dianggotai oleh anggota wanitanya serta disertai oleh kontinjen perwira veteran dengan menaiki kereta-kereta antik yang digunakan oleh pemimpin negara dalam menuntut kemerdekaan pada tahun 1950an.

Selain itu, ia juga mempamerkan lima helikopter yang merupakan aset ketenteraan dan keselamatan awam yang diiringi oleh pasukan pancaragam masing-masing iaitu TLDM, PDRM, ATM, TUDM dan APMM.

Ruang udara Dataran Merdeka digegarkan dengan pertunjukkan formasi udara oleh pasukan keselamatan. Perarakan diakhiri dengan segmen kelima "Bangga Menjadi Rakyat Malaysia" yang dimulakan dengan persembahan oleh generasi muda dengan pergerakan cergas dan bertenaga dengan diiringi lagu 'Drumline' dan medley lagu-lagu patriotik Nadi Rakyat, IM4U, Janji Ditepati, Tanggal 31, 1Malaysia dan diakhiri dengan Jalur Gemilang.

Perbarisan hampir dua jam yang berakhir kira-kira 10 pagi itu turut disaksikan ribuan rakyat Malaysia termasuk pelancong, yang mula membanjiri Dataran Merdeka seawal 6.30 pagi selain jutaan lagi menonton menerusi siaran langsung di RTM1.

Selepas keberangkatan balik Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah, Perdana Menteri dengan diiringi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang merupakan pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kemerdekaan dan isteri masing-masing turun ke padang untuk bermesra dengan para peserta dan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

- BERNAMA, Artikel diterbitkan pada  31 Ogos, 2012



























































Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Search This Blog