23 August 2012

Resipi van Milo


15 peket x 26g
BERDASARKAN sambutan hebat yang diterima terhadap van Milo yang menjalankan kempen pensampelan khususnya di sekolah seluruh Malaysia dan acara tertentu terutama berkaitan sukan sejak bertahun lalu, Nestle Products Sdn Bhd (Nestle) memperkenalkan produk terbarunya, Milo Sejuk yang mempunyai rasa sama seperti van sampel Milo itu di pasaran semasa.

Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan Kopi dan Minumannya, Don Howat berkata, sejak bertahun van sampel Milo yang mengunjungi sekolah sering menjadi perhatian dan kelazatan Milo yang diberikan secara percuma ternyata menjadi antara tarikan utama khususnya di kalangan kanak-kanak.

 “Namun, agak sukar untuk menghasilkan rasa sama sekiranya ia dibuat di rumah. Maka, selepas kerja keras yang dilakukan selama 12 bulan, kami berjaya menghasilkan Milo yang mempunyai rasa sama seperti yang didapati dari van sampel Milo dengan pek mudah disediakan,” katanya pada majlis pelancaran Milo Sejuk di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, Milo Sejuk yang dilancarkan semalam sesuai disediakan di rumah tanpa menggunakan air panas sebaliknya boleh dicampur terus dengan air sejuk.

“Jika menggunakan serbuk Milo biasa, pengguna perlu menambah air panas terlebih dulu sebelum mencampurkannya dengan ais. Namun, langkah penyediaan menjadi bertambah mudah kerana Milo Sejuk boleh disediakan dengan mencampurkan terus air sejuk,” katanya.

Howat berkata, antara tujuan utama pihaknya memperkenalkan Milo Sejuk adalah untuk menggalakkan kanak-kanak menjadikan Milo sebagai minuman pilihan pada bila-bila masa dan tidak terhad ketika waktu bersarapan saja.

“Kami meletakkan sasaran kanak-kanak berusia antara enam dan 14 tahun serta menjangkakan mereka akan memilih Milo sebagai minuman utama selepas melakukan pelbagai aktiviti seharian dan lebih istimewa ia boleh dinikmati dalam keadaan sejuk tanpa perlu ditambah ais,” katanya.

Menurutnya, Milo Sejuk berbeza dengan Milo Fuze 3 dalam 1 Ais Kool yang diperkenalkan sebelum ini kerana Milo Sejuk dihasilkan menggunakan resipi daripada van sampel Milo.

“Namun, ia mempunyai khasiat sama seperti minuman Milo lain yang diperkaya dengan Protomalt dan Actigen-E,” katanya.

Didatangkan dalam kotak mengandungi 15 paket berharga RM11 dan enam peket (RM5), pengguna juga berpeluang mendapatkan gelas percuma dengan setiap pembelian Milo Sejuk 15 peket di semua pasar raya.

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my
Artikel ini disiarkan pada : 23/08/2012



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Search This Blog