20 October 2012

Amanz.my : Portal Gajet Bahasa Melayu



Portal gajet bahasa Melayu 

PADA usia 18 tahun, Aman Firdaus Abul Hassan begitu obses terhadap pelbagai gajet canggih yang berada di pasaran ketika itu. Justeru, bagi mengetahui sejauh mana fungsi dan keberkesanan produk tersebut, internet menjadi medium untuknya mendapatkan jawapan.

Dari satu blog ke satu blog dan dari satu laman web ke laman web yang lain, anak muda yang mesra disapa Aman ini tidak pernah jemu menimba ilmu tentang inovasi gajet terkini yang dipaparkan.

Namun, kebanyakan laman web tersebut membuat ulasan dalam bahasa Inggeris dan sudah tentu ia mengundang rasa kurang senang apabila tidak memahami dengan jelas akan perkara yang dimaksudkan oleh penulis blog atau laman web tersebut.

Menyedari hakikat itu, Aman pantas mengatur strategi untuk mewujudkan satu laman web berkaitan dunia teknologi dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Ia dianggap sebagai khidmat secara tidak rasmi atau dalam erti kata lain, tanggungjawab sosial buat pengguna yang dahagakan informasi sedemikian.

Ketika usaha itu bermula, bilik tidur remaja tersebut menjadi saksi terhadap segala tindak-tanduknya ketika mula menjadi 'pengulas amatur' tentang sesuatu gajet dan peralatan teknologi yang dimiliki melalui laman web Amanz.net yang dibina sendiri.

Matlamatnya hanya satu iaitu untuk berkongsi tentang dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bersama khalayak.

Itu antara kisah awal yang berlaku lapan tahun lalu iaitu pada 2005. Kini, Aman sudah boleh berbangga apabila laman web yang diasaskan, Amanz.net yang telah ditukar kepada Amanz.my semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta ICT serta dijadikan rujukan bagi mereka.

Tidak percaya

"Jujurnya, saya seperti tidak percaya dengan kejayaan yang telah dikecapi melalui laman web ini. Tetapi, Alhamdulillah, objektif kami dalam usaha meningkatkan minat masyarakat terhadap dunia ICT melalui penulisan dalam Bahasa Melayu yang mudah difahami dapat dicapai.

"Rentetan daripada itu, saya telah menubuhkan syarikat Amanz Media Sdn. Bhd. yang didaftarkan secara rasmi pada awal tahun ini bagi melancarkan gerak kerja kami secara lebih profesional," ujar Aman, 25, graduan lulusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Industri Selangor (Unisel) ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. 



KOMITMEN dan kerja keras yang dilakukan oleh kumpulan remaja ini untuk membangunkan laman web berkaitan dunia teknologi dalam Bahasa Melayu perlu dicontohi ramai pihak.

Menurut Aman, antara kelebihan laman web tersebut adalah penggunaan Bahasa Melayu tinggi sepenuhnya dalam setiap artikel yang dihasilkan.

"Kami menyediakan ulasan yang adil dan saksama untuk setiap peranti, aplikasi atau projek berkaitan ICT. Ia secara tidak langsung membolehkan kami membantu syarikat ICT tempatan dalam menyampaikan maklumat berkenaan aktiviti dan produk mereka.

Buat masa ini, Amanz Media mempunyai tiga kakitangan tetap yang menjadi tunjang utama kepada kelancaran laman web tersebut selain beberapa penulis jemputan.

Jenama

Bagi Ikhwan Nazri Mohd. Asran, 27, dia bertuah kerana pada usia yang masih muda dirinya sudah berpeluang memegang jawatan besar dalam sebuah syarikat.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amanz Media, Ikhwan mengakui banyak cabaran yang dihadapi sebelum jenama mereka dikenali ramai dan menarik minat pelbagai pihak untuk menjalin kerjasama.

"Mendapatkan kepercayaan sesuatu pihak bukan perkara yang mudah. Apatah lagi bagi kami yang tidak mempunyai latar belakang perniagaan yang kukuh.

"Namun, apabila kita menghasilkan satu produk yang berkualiti, lama-kelamaan kepercayaan pihak lain akan datang sendiri.

"Begitu juga dengan syarikat kami. Kerjasama yang terjalin antara Amanz.my dan syarikat-syarikat besar yang lain berlaku tanpa dirancang. Pada mulanya kami hanya membuat ulasan dengan tujuan untuk berkongsi dengan pembaca.

"Bagaimanapun, apabila laman web kami mendapat sambutan yang amat memberangsangkan, mereka (pihak syarikat tertentu) tampil untuk bekerjasama seperti Google, YouTube dan sebagainya," jelas Ikhwan.

Tambahnya, di peringkat awal, antara cabaran yang mereka hadapi termasuklah untuk mendapatkan lebih ramai pembaca bagi laman web Amanz.my.

Pengunjung bertambah

Jika dahulu, laman tersebut hanya dilayari kira-kira 5,000 pelayar pada setiap bulan, kini jumlahnya sudah meningkat kepada lebih 600,000 sebulan.

"Amanz.my berjaya menarik lebih ramai pembaca dan pelayar apabila kami mengubah gaya penulisan dan memperbanyakkan lagi skop berkaitan teknologi," terang Ikhwan sambil memberitahu laman web tersebut direka seumpama laman berita.

Ini kerana sebaik sahaja masuk kepada paparan pertama, pembaca atau pelayar akan dapat melihat lapan berita terkini yang boleh dibaca sekali gus membantu mereka melihat berita yang diinginkan. 


REKA bentuk laman web Amanz.my mudah untuk diterokai dan menggunakan Bahasa Melayu tinggi sepenuhnya dalam setiap ulasan yang dibuat. 

Menggunakan sistem perisian WordPress bagi penghasilan artikel dan sistem analisis pelawat Google Analytics serta Effective Measure, Amanz.my akan menyalurkan sehingga 10 berita berkaitan sains dan teknologi pada setiap hari. Ia termasuk paparan berita dari dalam dan luar negara.

Selain berita, portal itu juga komited menghasilkan segmen tutorial dalam usaha untuk mendidik para pengguna tempatan mendapatkan pelbagai info dan tip semasa berkaitan teknologi.

Dalam pada itu, setiap bulan terdapat sekurang-kurangnya 30 pertanyaan yang diterima pihak Amanz.my merangkumi gajet, peralatan teknologi, perisian, tutorial dan startup.

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

kosmo.com.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Search This Blog