29 November 2012

AES bukan undang-undang baru yang ubah peraturan jalan raya sedia ada

Gambar AES Camera oleh thestar.com.my
 

SHAH ALAM: Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tidak mengubah undang-undang atau peraturan jalan raya sedia ada yang dikenakan terhadap pesalah lalu lintas, kata Timbalan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Ahmad Nasir Abdul Gani.

"Masalahnya terdapat di kalangan orang ramai yang keliru dan menganggap AES adalah undang-undang atau peraturan baru," katanya kepada peserta Program Memperkasakan Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Zon Tengah di sini, hari ini. 
 
Mengambil contoh hukuman saman kerana melanggar lampu merah, beliau berkata dendanya tetap sama iaitu RM300 dan kadang-kala pemandu mungkin terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang berikutan tiada pemantauan 24 jam, sedangkan menerusi AES pemandu diawasi menerusi kamera.

Jelas beliau, penerima saman AES juga masih boleh merayu seperti sebelum pelaksanaan AES dengan syarat mengemukakan bukti yang kukuh.

"Jika terpaksa memandu melebihi had laju kerana perlu menghantar isteri yang hendak bersalin ke hospital, mereka perlu mengemukakan bil hospital bersama surat rayuan mereka untuk dipertimbangkan," katanya.

Berhubung laporan terdapat lebih 60,000 imej kesalahan jalan raya yang dirakamkan AES sejak September lalu, Ahmad Nasir berkata ia akan diteliti untuk pengesahan sebelum saman dikeluarkan.

"Setiap imej kesalahan lalu lintas yang dirakamkan oleh kamera AES akan dihantar ke pusat kawalan di Glenmarie dan Damansara untuk disahkan oleh pegawai JPJ terlebih dulu, sebelum saman yang sah dikeluarkan jabatan itu dan dihantar kepada pesalah trafik melalui surat berdaftar," katanya. 

Ahmad Nasir berkata AES diperlukan bagi mengurangkan kemalangan dan kadar kematian di jalan raya yang tinggi di negara ini, iaitu 19 orang sehari.

Pelaksanaan AES diharapkan dapat mendidik pemandu di negara ini supaya lebih berhati-hati di jalan raya memandangkan jumlah kenderaan berdaftar mencecah 22 juta dengan peningkatan 10 peratus kenderaan baru, setiap tahun.

Setakat ini terdapat 14 kamera AES di pasang di jalan raya dan lebuh raya di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Putrajaya.

Program Memperkasakan Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan selama dua hari, bermula hari ini dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Penerangan) KPKK, Datuk Dr Rothiah Omar. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Search This Blog