24 March 2023

Folio Sejarah : Alat - Alat Kebesaran DiRaja.

Ini adalah  Folio Sejarah anak saya, pelajar Tahun 5 beberapa tahun yang lepas dan pihak Sekolah membenarkan ibu bapa membantu pelajar menyiapkan Folio ini. 

Markah Folio merangkumi 20% daripada markah keseluruhan peperiksaan akhir untuk Sejarah.

Berikut antara perkara yang menarik minat saya. Ada banyak sebenarnya, tetapi adalah wajar saya berkongsi perkara ini dulu. Insyaallah saya akan kongsikan beberapa perkara lain jika berkesempatan. Semoga ia dapat memberi manafaat kepada sesiapa yang berminat tentang Warisan Melayu.


 ALAT-ALAT KEBESARAN DIRAJA 

Tengkolok Diraja 


TENGKOLOK merupakah salah satu pakaian kebesaran Raja-Raja Melayu di Malaysia yang berwarna hitam bersulam benang emas dan dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Hari Pertabalan. 

Tengkolok Diraja Yang di-Pertuan Agong berwarna hitam bersulamkan benang emas. Soleknya dinamakan "Dendam Tak Sudah" yang berasal dari Negeri Sembilan 


Muskat 


MUSKAT merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Pegawai-Pegawai Istiadat Istana Negara. 

Pada kebiasaannya, baju ini dipakai bersekali dengan seluar panjang bersulam di kaki dan tengkolok dalam majlis-majlis sempena Hari Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, lawatan-lawatan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke negeri-negeri seluruh Malaysia dan Perasmian Penggal Persidangan Parlimen. 


Keris Pendek Diraja 


KERIS PENDEK DIRAJA adalah diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas. Ia hanya dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. 


Pending Diraja 



PENDING DIRAJA ini diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah dan bersulamkan dengan permata delima dan di tengah-tengahnya pula tertera lambang Kerajaan Persekutuan. Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas. 


Gandik Diraja 



GANDIK (TIARA) dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong semasa istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan pada waktu Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Gandik ini diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat dan diperbuat khas supaya boleh dicerai menjadikannya loket dan kerongsang. 


Kalung Diraja 


Rantai leher yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian. Dipakai dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan pada waktu Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kalung ini juga boleh dicerai menjadikannya sepasang subang, kerongsang dan kerabu. 


Keris Panjang Diraja 


KERIS PANJANG DIRAJA adalah alat kebesaran negara yang utama dalam istiadat pertabalan. Keris Panjang Diraja adalah Keris Kerajaan dan merupakan tanda kebesaran dan kekuasaan. 

Keris ini, dari hulu hingga ke sarungnya bersalut dengan emas dan di atas sampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang sebelas Negeri-negeeri Tanah Melayu. Matanya ditempa daripada besi waja yang diambil daripada sebelas bilah keris negeri-negeri itu. Hulu keris ini berbentuk Tapak Kuda dengan hiasan yang merupakan buah jering. 

Keris ini hanya dibawa oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam istiadat-istiadat tertentu sahaja. 


Cogan Alam 


COGAN ALAM diperbuat daripada perak. Panjangnya 162.66 sentimeter berupa suatu bulatan di atas hulu tongkat. Di atas bulatan ini diperbuat anak bulan dengan bintang daripada emas. Di sekeliling bulatan ini diterapkan dengan lambang sebelas Negeri-negeri Tanah Melayu yang diperbuat daripada emas. Bulatan tersebut ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri manakala tongkatnya dihiasi dengan enam tangkai padi yang diperbuat daripada emas. 


Cogan Agama 



COGAN AGAMA diperbuat daripada perak. Panjangnya 155.04 sentimeter berupa sebatang tongkat bulat berhulu besar. Di atas hulu tongkat itu diperbuat anak bulan dengan bintang pecah lima daripada emas. Pada batang dan hulunya diterapkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran. 


Cokmar 


COKMAR adalah dua batang tongkat pendek berhulukan kubah merupakan alat perang zaman dahulu. Cokmar diperbuat daripada perak dan panjangnya adalah 81.32 sentimeter. 


Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja 


PEDANG, KERIS PANJANG dan SUNDANG DIRAJA adalah tiga senjata Melayu lama yang dijadikan sebahagian daripada alat kebesaran Diraja iaitu diambil daripada mata pedang, keris panjang dan sundang zaman purbakala. Keris Panjang dan Sundang pula disalut dengan perak serta berukir-ukir pada hulu dan sarungnya. 


Payung Ubur-ubur Kuning dan Tombak Berambu 

Terdapat dua puluh kaki Payung Ubur-ubur Kuning yang diperbuat daripada kain sutera yang berwarna kuning. Di kemuncaknya dipasangkan anak bulan dengan bintang. 


Di samping itu terdapat dua puluh batang Tombak Berambu yang matanya berlok tiga diperbuat daripada tombak-tombak pusaka dari sebelas buah negeri di Semenanjung Malaysia. 



Lain-Lain  Alat Kebesaran DiRaja: 

Nobat 


NOBAT ialah ‘pancaragam’ Diraja yang telah digunakan dari zaman berzaman di Negeri-negeri Melayu terutamanya untuk Istiadat Pertabalan Raja-raja. Antara alat-alat bunyian Nobat ialah Gendang, Nafiri, Serunai dan Gong. 

Negeri-negeri Melayu yang mempunyai Nobat ialah negeri Perak, Kedah, Selangor dan Terengganu 


Panji-Panji Diraja 


PANJI-PANJI DIRAJA yang berwarna kuning mempunyai Jata Malaysia di tengah-tengah yang dikelilingi oleh dua karangan padi. Warna kuning ialah warna Diraja. Karang padi yang berwarna keemasan melambangkan kemewahan atau kemakmuran.

~ Maklumat dari pelbagai sumber internet

No comments:

Post a Comment

Pisang Empat Puluh Hari/Pisang Boyan

Pokok pisang yang pertama saya tanam ialah Pisang Empat Puluh Hari atau ada yang menyebutnya Pisang Boyan. Popular ditanam di sebelah Johor....